KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan agar TikTok Shop diwajibkan memperoleh lesen e-dagang di negara ini.
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berkata, langkah itu belum diputuskan susulan keputusan kerajaan Indonesia yang mengharamkan transaksi e-dagang di platform TikTok berkuat kuasa serta-merta pada 4 Oktober lalu.
Timbalan menterinya, Teo Nie Ching berkata, satu perbincangan akan dibuat terlebih dahulu dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum sebarang itu keputusan dibuat.
“Setakat ini, KKD belum buat apa-apa keputusan terhadap TikTok Shop sama ada kita nak wajibkan mereka mendapat lesen.
“Ini adalah salah satu perkara yang kami akan berbincang dengan kementerian lain berkaitan seperti KPDN. Sekiranya ada apa-apa perkembangan, saya percaya kami akan buat pengumuman pada masa yang sesuai,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Nie Ching berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai adakah kerajaan sedang mempertimbangkan bagi mengikuti langkah kerajaan Indonesia yang mengharamkan TikTok Shop bagi melindungi perniagaan tempatan.
Iskandar berkata, sekatan yang dibuat kerajaan Indonesia itu kemudiannya menyebabkan TikTok bersama YouTube dan Meta mempertimbangkan untuk memohon lesen e-dagang bagi meneruskan operasi mereka di Indonesia.
Nie Ching turut memaklumkan, beliau telah mengadakan mesyuarat bersama TikTok sebelum ini dan hasilnya menunjukkan bahawa 96 peratus penjual TikTok Shop adalah daripada Malaysia.
“Maksudnya hanya empat peratus adalah daripada luar negara. Bukan sahaja TikTok Shop atau e-vendor itu boleh mendapat pendapatan tetapi penyedia kandungan yang membantu sesebuah kedai untuk promosi kedai mereka (juga memperoleh pendapatan).
“Mereka boleh mendapat keuntungan daripada kandungan yang mereka cipta tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette