SABAK BERNAM – Isteri vokalis kumpulan Jinbara, Mimi Norfaiza Mohd Idris kesal kerana Along menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab memfitnah kononnya suaminya sudah meninggal dunia.
Lebih dikesali apabila pihak yang memuat naik hantaran di media sosial itu masih gagal memohon maaf secara terbuka kerana menyebarkan berita palsu.
“Waktu itu, saya sedih, saya marah sebab waktu itu Along tengah sakit, kritikal dekat sana (Hospital Kuala Lumpur)
“Kenapa benda-benda yang murah macam ini, boleh keluar untuk orang ambil kesempatan. Saya rasa macam tak patut laa benda ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Grand Sabak Hotel & Mini Convention Centre baru-baru ini.
Sebelum ini, media melaporkan Along atau nama sebenarnya, Syah Nizam Ahmad Samsi dikejarkan ke HKL kerana tidak sedarkan diri selepas mengadu berasa pening dan kemudian muntah kira-kira jam 4.45 pagi, 8 September lalu.
Bagaimanapun keadaan kesihatan Along dipercayai diputarbelit pentadbir laman media sosial Facebook menggunakan nama Kokoci TV dengan memuat naik hantaran gambar dengan mesej “Innalillah WH Kepada Ahli Kumpulan Jinbara! Tiada Lagi Suaranya Selepas Ini”.
Tambahnya Mimi, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik laman Facebook Kokoci TV kerana hantaran itu mengelirukan peminat Along.
“Korang nak ambil perhatian daripada follower, korang nakkan publisiti murahan, saya rasa memang tak patut. Masa terjadi benda itu saya tengah buat Live di TikTok, guna akaun Along, mereka tanya Along ada lagi ke tak, saya kata korang pergi report ramai-ramai.
“Kita ada buat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jadi biarlah pihak berkuasa yang ambil tindakan.
“Mereka sengaja nak ambil publisiti murahan sahaja, kita tak boleh nak elak, tak boleh nak cakap, sebab laman Facebook dia orang punya, dia boleh cakap apa saja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette