Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah berhubung penganjuran konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang dijadualkan esok.

Menurut Perdana Menteri, ia susulan wujud gesaan segelintir pihak agar konsert tersebut dibatalkan.

“Jadi ada masalah sikit, nak beritahu dalam kerajaan yang lalu telah luluskan juga.

“Saya akan bincang dengan mufti apakah keadaan ini (penganjuran konsert) kerana ada pelobi-pelobi daripada gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) dan juga di pejabat saya menyatakan mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan.

“Tetapi kalau perkara ini dibangkitkan kerana ada beberapa isu lain yang tidak kita setuju itu, akan saya bincang semula,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai pendirian kerajaan berhubung penganjuran konsert Coldplay dan semua persembahan konsert lain.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Luqman Abdullah menggesa penganjur membatalkan konsert Coldplay yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada Rabu.

Luqman dilapor menggesa penganjur membatalkan konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung esok.

Katanya, acara itu bukan sahaja melalaikan bahkan tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat negara ini.

Menurutnya, band asal United Kingdom yang menyokong kumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) itu jelas bertentangan dengan nilai murni serta budaya Malaysia. – MalaysiaGazette