GEORGE TOWN – Kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah melaksanakan perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk mengatasi masalah kekeruhan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang menjejaskan bekalan air bersih.
Kekeruhan di LRA Sungai Dua berlaku setiap kali hujan lebat mahu pun banjir di kawasan sempadan Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, antara usaha yang sedang dilaksanakan adalah projek penyaluran air mentah dari Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua (fasa 2B).
Jelas beliau, kos projek itu bernilai RM72.4 juta diperuntukan Kerajaan Persekutuan dan ia dijangka siap pada akhir tahun ini.
“Empangan Mengkuang hanya berfungsi sebagai empangan strategik untuk keperluan semasa musim kering, kemarau serta apa-apa kecemasan yang berlaku melibatkan insiden Sungai Muda.
“Sehingga kini tahap kapasiti pelepasan air menerusi Empangan Mengkuang adalah sebanyak 300JLH dan sekiranya projek fasa 2B siap, kapasiti pelepasan air daripada Empangan Mengkuang ke LRA Sungai Dua akan meningkat kepada 600JLH.
“Walau bagaimanapun, LRA Sungai Dua memerlukan kira-kira 1,100 JLH air mentah setiap hari untuk menghasilkan 1,000 JLH air terawat manakala Empangan Mengkuang memerlukan 400JLH lagi untuk melepaskan air secara maksimum sebanyak 1000JLH supaya LRA Sungai Dua dapat beroperasi secara optimum,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini
Zairil (PH-Tanjong Bunga) menjawab soalan Phee Syn Tze (PH-Sungai Puyu) mengenai perancangan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah kekeruhan air di LRA Air Sungai Dua disebabkan hujan lebat atau banjir di kawasan sempadan Kedah sehingga menyebabkan bekalan air bersih di seluruh Pulau Pinang terjejas.
Tambah Zairil, bagi membolehkan pelepasan air dilaksanakan secara maksimum, Kerajaan Negeri telah memohon untuk meneruskan pelaksanaan projek fasa 2C kepada Kerajaan Persekutuan bagi melengkapkan pakej pembesaran Empangan Mengkuang supaya bekalan air di negeri ini terjamin. – MalaysiaGazette