Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) ketika merasmikan Pusat Pemindahan Kampung Liut di Maran hari ini

MARAN – Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang akan menubuhkan Pasukan Ahli Sokongan Pertahanan Awam (CDA) dalam kalangan penjawat awam di organisasi berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang menjadi negeri pertama menubuhkan pasukan tersebut di negara ini.

”SUK Pahang merupakan SUK pertama di Malaysia yang menubuhkan pasukan ini dengan keanggotaan seramai 30 orang atau satu platun.

”Insya- Allah pasukan ini akan kita lancarkan pada awal tahun depan,” katanya di Maran hari ini.

Menurutnya, penubuhan CDA itu merupakan platform kepada mana-mana organisasi yang kompeten tidak kira dari badan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama berganding bahu menyumbang bakti mengikut kepakaran.

”CDA diwujudkan bagi sama-sama berkhidmat dan berbakti kepada negara melalui bantuan latihan, kepakaran dan pelbagai bantuan lagi.

”Saya yakin dengan tertubuhnya pasukan ini, ia akan dapat membantu Angkatan Pertahanan Awam (APM) ataupun mana-mana agensi mahupun rakyat, terutamanya dalam kesiapsiagaan awam seperti pengurusan bencana dan perkhidmatan kecemasan negara,” katanya.

Dalam pada itu Wan Rosdy turut menasihati rakyat di negeri ini yang tinggal di kawasan berisiko banjir, dapat bersiap sedia untuk berpindah ke pusat-pusat pemindahan apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.

Menurut beliau, Pahang sudah pun memasuki ke fasa Monsun Timur Laut yang lazimnya akan berlaku kejadian banjir di negeri-negeri Pantai Timur. – MalaysiaGazette