Anggota Unit Pemusnah Bom PDRM sedang melakukan pemeriksaan di SMK Kuching High selepas menerima ancaman bom. Foto FB SMK Kuching High

KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Kuching mengesahkan menerima dua laporan ancaman bom melalui e-mel melibatkan sebuah sekolah antarabangsa dan sekolah menengah kebangsaan di Kuching.

Ketua Polis Daearah Kuching Asisten Komisner (ACP) Asmon Bajah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil langkah mengosongkan sekolah-sekolah berkenaan demi keselamatan, pengunsian pelajar ke lokasi selamat.

“Tindakan pembersihan keselamatan bom telah dijalankan dengan rapi oleh elemen-elemen Polis Diraja Malaysia di semua lokasi terlibat namun tiada sebarang ancaman dikesan.

“Siasatan mendapati e-mel ancaman adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah yang didakwa,” katanya.

Jelasnya, polis dengan kerjasama pengurusan sekolah dan bomba telah mengambil langkah-langkah keselamatan dan memaksimumkan litupan keselamatan di sekolah berkaitan dan sekolah lain.

Asmon dalam pada itu menasihatkan mana-mana individu tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

Dalam pada itu, di media sosial menunjukkan warga SMK Kuching High School dipindahkan dan ibu bapa pelajar kelas petang telah dihubungi untuk mengambil anak masing-masing.

Berita mengenai ancaman bom di sekolah itu diterima pada jam 11.30 pagi.

Pengerusi Lembaga Sekolah SMK Kuching High, Johnny Lim dalam kenyataan media berkata, pihak sekolah telah menerima e-mel berkenaan mendakwa sekolah itu akan dibom pada pukul 3 petang.

“Atas sebab keselamatan, pihak sekolah telah segera membuat laporan polis di Balai Polis Padungan dan telah mengeluarkan pekeliling melalui WhatsApp kepada ibu bapa untuk mengambil anak mereka dari sekolah & membatalkan kelas petang.

“Kami akan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat perkara itu dan memastikan keselamatan kawasan sekolah kerana keselamatan pelajar dan guru adalah perkara utama kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast