Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN – Seorang guru di Cameron Highlands dekat sini diperdaya oleh sindiket penipuan telefon sehingga rugi  RM362,399 oleh individu yang menyamar wakil Pos Laju dan pegawai polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa menerima panggilan mengatakan terdapat satu bungkusan yang dihantar atas namanya pada Oktober lalu.

”Bungkusan yang dihantar atas nama mangsa mengandungi dokumen penting seperti Mykad, kad kredit dan buku Cek CIMB.

”Suspek mengatakan bungkusan tersebut telah ditahan oleh pihak Pos Laju dan talian mangsa disambungkan kepada pihak polis Pulau Pinang serta Bukit Aman kerana disyaki terlibat dengan kes penggubahan wang haram serta penyeludupan dadah,” katanya.

Kemudian mangsa diberitahu akan dibantu dalam rayuan kes dan telah diarahkan untuk buat pindahan wang bagi tujuan siasatan.

Mangsa yang berusia 34 tahun juga diminta membuat pinjaman Bank Rakyat dan maklumat perbankan tersebut perlu diserahkan kepada suspek.

”Guru itu kemudian diarahkan lagi buat pindahan wang simpanan lain secara berperingkat ke akaun suspek bagi bayaran mahkamah, Bank Negara Malaysia serta audit.

”Jumlah wang yang telah dipindahkan ke saspek anggaran RM362,399. Mangsa cuba hubungi semula individu tersebut tetapi gagal,” katanya menerusi kenyataan.

Merasa dirinya tertipu mangsa tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat aduan.

Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi kerajaan berkenaan bag mengela dari menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette