tiket penerbangan MCA PRN
Tan Teik Cheng

KUALA LUMPUR – MCA mengecam tindakan pihak yang menghantar e-mel mengandungi ancaman bom di sekolah semalam dan menyifatkan pelakunya sebagai pengecut.

Naib Presidennya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, perbuatan itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman dan keamanan masyarakat di negara ini, malah ia telah mencetuskan situasi panik.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, MCA menggesa polis untuk segera menyiasat dan menahan suspek bagi menjaga keselamatan institusi pendidikan di negara ini.

“Walaupun pemeriksaan keselamatan menyeluruh yang dijalankan oleh polis tidak menemui sebarang bom atau ancaman di mana-mana lokasi terbabit, agensi penguat kuasa dan pihak sekolah tidak boleh memandang remeh situasi ini.

“Adalah penting bagi semua agensi yang berkaitan mengambil tindakan segera dengan memperketatkan langkah keselamatan di sekolah demi menjamin kesejahteraan para pelajar dan guru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat ini, polis mengesahkan sebanyak 22 sekolah di seluruh negara telah menerima e-mel berkaitan ancaman bom namun pemeriksaan mendapati tiada bahan letupan di lokasi-lokasi terbabit.

Teik Cheng menasihatkan semua institusi pendidikan untuk mengekalkan tahap kewaspadaan yang tinggi serta meningkatkan tahap keselamatan.

“Walaupun ancaman tersebut telah disahkan sebagai palsu, ciri-ciri insiden yang terancang dan teratur memerlukan siasatan segera dilakukan berhubung motif suspek dan kemungkinan untuk melakukan aktiviti jenayah berikutnya,” jelasnya. – MalaysiaGazette