Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Isu penyelarasan pencen veteran Angkatan Tentera (ATM) yang berlarutan hampir 10 tahun menjadi topik hangat di Dewan Rakyat hingga mencetuskan perang mulut antara dua Ahli Parlimen.

Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mendakwa sejak 2013 hingga kini, beliau tidak pernah mendengar mana-mana Menteri Pertahanan membawa perkara itu ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Bagaimanapun dakwaan itu disanggah Menteri Partahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan sambil mempersoalkan bagaimana Khlir mengetahui beliau tidak pernah membawa perkara tersebut ke Kabinet.

“Kalau ada (menteri bawa ke Kabinet) beritahu saya. Tapi saya tak pernah dengar lagi,” kata Khlir ketika perbahasan Belanjawan 2024 peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mendengar tuduhan itu Mohamad yang menggesa agar Khlir menarik balik tuduhan itu menegaskan, beliau telah membawa perkara berkenaan untuk dibincangkan banyak kali.

Namun Khlir kemudiannya berkata, beliau hanya akan menarik balik tuduhan itu jika Mohamad benar-benar membawanya ke mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya bawa ke Kabinet, tuduhan tadi mengatakan saya tak bawa, tarik balik. Minta tarik balik, itu tuduhan bukan kenyataan,” tegasnya.

Khlir akhirnya akur dan menarik balik tuduhan itu dengan berkata: “Saya kata kalau bawa okay, kalau tak bawa, bawalah…okay tariklah.

Dalam pada itu, Khlir mengingatkan kerajaan membuat penyelarasan pencen bagi mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013, mengikut Akta ATM 1972.

Katanya, sudah lebih 10 tahun penyelarasan pencen itu ditunggu untuk dilaksanakan kerana ia hak mereka dan wajib dilaksanakan kerajaan.

“Ingin saya ingatkan sekali lagi kepada Kementerian Pertahanan, bahawa veteran bukan tagih simpati kerajaan tapi tuntut hak mereka.

“Kerajaan berdosa kepada mereka kalau tidak menjelaskan hutang tertunggak sejak 10 tahun lalu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. PIMPINAN PAS BAB HUTANG HARAKAH PUN TAK BOLEH NAK BAYAR,TAPI TUDUH KERAJAAN BERDOSA BAB PENCEN, SIKAP MUNAFIK PIMPINAN PAS TUNGGANG AGAMA

Comments are closed.