Tertuduh M. Sentil Kumar dibawa keluar dari kamah mahkamah oleh Pegawai SPRM Pahang hari ini

KUANTAN – Seorang pengarah bagi dua buah syarikat mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan membuat tuntutan palsu di bawah Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya 2.0) berjumlah RM152,200 pada 27 Mei dan 24 Jun 2021.

Tertuduh M Sentil Kumar a/l Murugeh @ Murugatah, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain di Mahkamah Sesyen 2, di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, selaku Pengarah Global Tech(S) Auto Supply dan Global Green Soil Plantation, dia dituduh memberikan dokumen palsu berkaitan tuntutan Penjana Kerjaya 2.0 diserahkan kepada ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dokumen tersebut mengandungi butiran nama pekerja yang terlibat dalam program berkenaan yang dibuat bagi tujuan menuntut bayaran yuran di bawah Insentif Penjana Kerjaya 2.0.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (c) akta sama.

Jika sabit kesalahan, M. Sentil  Kumar boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) ASPRM 2009 (Akta 694) yang mana dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda.

Selain itu, M.Sentil Kumar mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan mahkamah agar wang jaminan sebanyak RM15,000 dan RM40,000 dikenakan ke atas tertuduh berserta beberapa syarat tambahan.

Tertuduh diwakili penguambela, T Viyaja Sandran merayu kepada mahkamah agar jumlah wang jaminan ke atas anak guamnya dikurangkan.

Hakim kemudian memutuskan wang jaminan sebanyak RM55,000 bagi semua pertuduhan berserta seorang penjamin bercagar.

Tertuduh juga dikehendaki melapor diri ke Pejabat SPRM Temerloh setiap bulan bermula Disember ini dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 22 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette