Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan MADANI di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 23 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa puas hati kerana tiada seorang menteri di bawah Kerajaan Perpaduan terlibat dengan rasuah selepas setahun pentadbirannya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pengesahan itu diperolehnya selepas membuat pemeriksaan dengan pihak berkuasa.

Antaranya menerusi laporan yang diterima minggu lalu daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

“Memang rakan-rakan di sebelah sana (pembangkang) kata jemu dan mual, orang Kedah kata cemuih. Seolah-olah dua istilah menakutkan mereka.

“Tetapi percayalah Malaysia ini mempunyai potensi sangat besar untuk diangkat martabatnya kalau kita betulkan isu tatakelola dan hentikan amalan rasuah.

“Alhamdulillan rakan-rakan jemaah menteri dan pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan telah sepakat apa yang berlaku masa lalu adalah sejarah lampau.

“Alhamdulillah sepanjang satu tahun dan kita pantau melalui SPRM saya bangga kerana keputusan kita ikut proses tatakelola dan tender bagi amaran keras tidak boleh kayakan diri dan keluarga mereka, seminggu yang lalu ditanya laporan SPRM dan LHDN, PDRM, pimpinan kita dapat bertahan supaya henti penyalahgunaan kuasa dah rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampai amanat ada Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan MADANI di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Anwar menjanjikan kerajan akan lebih agresif pada tahun kedua pentadbirannya dalam membawa perubahan dan anjakan yang diperlukan berdasarkan kestabilan politik dimiliki negara ketika ini.

Perdana Menteri berkata, perubahan itu bukan sahaja untuk menyelamatkan Malaysia malah mengangkat kembali martabat sebagai negara hebat di rantau ini. – MalaysiaGazette