Foto Instagram Fazura.

KUALA LUMPUR – Artis sensasi, Nur Fazura meluahkan perasaannya apabila akhirnya dapat menyaksikan konsert Coldplay di depan mata.

Isteri kepada pelakon Fattah Amin itu mengakui sudah lama meminati kumpulan pop United Kingdom itu dan membesar dengan lagu-lagu popularnya.

“Sudah bertahun-tahun lamanya berimpian untuk menonton konsert Coldplay kerana saya membesar dengan mendengar lagu lagu mereka dengan banyak sekali kenangan dalam hidup saya.

“Terutama sekali malam tadi adalah detik emosional buat saya secara spesifiknya mendengar mereka mengalunkan lagu lagu seperti Fix You, The Scientist, Sparks dan Sky Full Of Stars yang pernah menjadi lagu paling saya gemari.

“Rakyat Malaysia penuh dengan rasa kasih sayang, jauh daripada kebencian – ia tauladan yang kita amalkan dan tunjukkan kepada dunia,” tulis di Instagram.

Sepanjang konsert itu, Fazura turut menunjukkan solidaritinya kepada Palestin dengan melilitkan skaf tanda sokongan.

Ibu kepada seorang anak itu juga mengibarkan bendera Palestin di dalam konsert Coldplay itu dan dia sesekali kelihatan menangis sambil tangannya mengibarkan bendera.

Malam Rabu lalu, Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil dihadiri lebih 75,000 penonton.

Sebelum ini, wujud beberapa gesaan agar konsert Coldplay dibatalkan bagi menghormati situasi peperangan yang sedang berlaku di Palestin.

Saranan turut dibuat Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah yang menasihatkan orang ramai tidak memberi sokongan kepada penganjuran konsert berkenaan yang dikatakan jelas bertentangan nilai murni dan budaya di negara ini.

Selain itu, wujud juga kebimbangan insiden konsert The 1975 sebelum ini berulang yang mencetuskan kemarahan ramai pihak di mana terdapat aksi ahli kumpulan itu bercium sesama sejenis di atas pentas.

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, konsert yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu dilengkapi suis pemati (kill switch) yang akan digunakan jika wujud sebarang pelanggaran peraturan yang sudah ditetapkan

Konsert siri jelajah Coldplay di Kuala Lumpur ini akan menjadi persembahan terakhir kumpulan terkenal itu pada 2023. – MalaysiaGazette