Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia 2023 di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 23 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Bersatu dalam pemilihan parti itu yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan.

Katanya, masa untuk beliau mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baharu telah pun tiba.

“Keputusan saya ini dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis BERSATU mengambil alih kepimpinan parti menurut proses demokrasi yang diamalkan oleh parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahuan Bersatu di Shah Alam hari ini.

Berikutan keputusan itu, Muhyiddin mencadangkan supaya barisan kepimpinan kanan parti bermusyawarah terlebih dahulu untuk memastikan tokoh-tokoh berpengalaman luas yang ada bersama parti pada hari ini mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan parti yang baharu nanti.

Katanya, ia penting supaya kekuatan yang ada pada parti dapat digembeleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan.

Pengumuman Muhyiddin yang disifatkan sebagai mengejut itu menimbulkan suasana kecoh di dalam dewan Ideal Convenetion Centre (IDCC) yang menjadi tempat Bersatu melangsungkan perhimpunan tahunan.

Muhyiddin berkata, perhimpunan agung kali ini adalah yang terakhir buat beliau berdiri di astas pentas sebagai Presiden parti.

“Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli BERSATU sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya.

Muhyiddin turut berdoa proses peralihan kepimpinan parti dapt berlangsung dengan penuh tertib dan harmoni.

“Junjunglah perlembagaan parti. Elakkan perpecahan. Utamakan perpaduan supaya parti kita dapat bangkit dengan lebih gagah dan sakti lagi selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette