Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan meneliti serta menyemak semula kelayakan kesemua syarikat agensi pelancongan, khususnya yang menjalankan perniagaan berkaitan perjalanan mengerjakan umrah di Arab Saudi.

Tindakan itu susulan insiden penipuan oleh segelintir syarikat agensi pelancongan pengurusan jemaah umrah.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, walaupun MOTAC telah mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat yang berkenaan seperti membatalkan lesen mereka, namun masih terdapat aduan mengenai masalah sama.

Namun, katanya, masih ada ejen-ejen syarikat pelancongan ini yang degil dengan mempromosikan pakej-pakej umrah tetapi tidak melaksanakannya.

“Sebelum ini terdapat aduan dan keluhan orang ramai khususnya jemaah umrah yang menjadi mangsa penipuan segelintir syarikat agensi pelancongan pengurusaan umrah yang tidak bertanggungjawab. Ada jemaah umrah yang tidak dibawa ke destinasi-destinasi atau diberikan perkhidmatan yang sepatutnya, seperti yang ditawarkan oleh syarikat agensi pelancongan berkenaan.

“Lebih malang, jemaah umrah ini gagal menghubungi syarikat agensi pelancongan berkenaan apabila mereka tiba di lapangan terbang di Arab Saudi. Syarikat agensi pelancongan ini secara tidak berhati perut melepaskan tangan sehingga mengecewakan pelanggan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Justeru, beliau telah mengarahkan Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan untuk mengetuai jawatankuasa semakan ini dan membentangkan laporan lengkap dalam tempoh sebulan, termasuk mengkategorikan syarikat yang benar-benar menjalankan perniagaan dengan baik dan sebaliknya.

“Saya juga mahu laporan terperinci mengenai rekod syarikat-syarikat ini sepanjang menguruskan jemaah umrah. Ini bagi memastikan syarikat agensi pelancongan lebih bertanggungjawab semasa menjalankan perniagaan dan tidak sesekali mengabaikan pelanggan masing-masing.

“Dalam masa sama, saya juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi untuk membincangkan tentang kuota.

“Sekiranya MOTAC dapat diberi amanah, jawatankuasa yang diketuai oleh timbalan menteri akan ditubuhkan untuk menguruskan perkara ini daripada diberikan secara terus kepada syarikat agensi pelancongan agar proses jemaah umrah dari negara kita dapat berjalan dengan lebih lancar, telus dan bertanggungjawab serta memastikan kejadian sama khususnya membabitkan penipuan tidak berulang lagi di masa hadapan,” tambah beliau.

Selain itu, King Sing menambah, MOTAC juga akan menyelesaikan beberapa isu lain seperti harga dan prosedur permohonan boleh dibuat melalui MOTAC, sebelum MOTAC menyerahkannya kepada agensi-agensi pelancongan yang bertanggungjawab.

Selain dapat menjimatkan kos yang tidak perlu dikenakan kepada pelanggan, ia juga dapat membantu menyelesaikan semua perkara secara bersekali.

Manakala semua syarikat agensi pelancongan sama ada yang telah lama beroperasi mahupun syarikat baharu, perlu melaporkan setiap aktiviti berkaitan pelanggan mereka sepanjang perjalanan mengerjakan umrah kepada MOTAC bagi membolehkan MOTAC memantau secara dekat dan memastikan segala janji yang ditawarkan kepada pelanggan mereka dikotakan.

Beliau berharap dengan inisiatif MOTAC ini kelak dapat membantu dan menjaga jemaah umrah daripada terus menjadi mangsa penipuan.

Di samping itu juga, ianya dapat memberi peringatan kepada semua syarikat agensi pelancongan supaya tidak sesekali memperdaya pelanggan masing-masing, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam satu persaingan yang sihat.

“Saya juga merayu agar semua syarikat agensi pelancongan pengurusan umrah untuk sentiasa jujur dalam menjalankan perniagaan mereka dan sentiasa menunaikan perniagaan mereka serta sentiasa menunaikan tanggungjawab sepenuhnya dalam memberi tawaran perkhidmatan yang Tidijanjikan.

“Syarikat-syarikat berkenaan adalah dilarang untuk memasarkan dan menawarkan perkhidmatan yang tidak mampu diberikan seperti tidak mempunyai kuota atau kapasiti logistik yang sepatutnya,” tegas beliau. – MalaysiaGazette