Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menaik taraf kelajuan capaian internet daripada 3 Gbps kepada 13 Gbps bermula 1 Oktober tahun ini.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menaik taraf kelajuan capaian internet daripada 3 Gbps kepada 13 Gbps di kedua-dua kampusnya, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, penaiktarafan kelajuan internet yang bermula 1 Oktober lalu melibatkan Kampus Induk Durian Tunggal dan Kampus Teknologi di Ayer Keroh.

Katanya, usaha tersebut merupakan kerjasama penuh dengan syarikat TIME dotcom Berhad sehingga September 2025.

“Pelaburan ini adalah seiringan dengan agenda Transformasi Pendigitalansecara menyeluruh di semua Universiti Awam (UA).

“Sehubungan dengan itu perkara ini juga adalah selari dengan 5 Teras Strategik UTeM yang berkait langsung dengan Teras Strategik 4 UTeM iaitu Mencetuskan Ekosistem Rancak, Melestarikan Universiti.

“Ia bertujuan untuk memastikan akses kepada infrastruktur dan infostruktur digital yang berpatutan, boleh dipercayai, mampan dan bersepadu untuk semua termasuk pelajar, staf dan pemegang taruh,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, usaha tersebut turut mewujudkan transformasi digital menyeluruh yang akan memberi impak positif kepada setiap aspek operasi pentadbiran dan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian tanpa mengira lokasi atau waktu.

Dr Massila berkata, UTeM komited dalam memajukan transformasi pendigitalan dalam operasi PdP dan operasinya dalam memberi impak, cabaran dan peluang yang besar dalam kehidupan bagi memudahkan segala urusan secara dalam talian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Maklumat (CIO) UTeM, Prof Dr Mohd Khanapi Abd Ghani berkata, peningkatan perkhidmatan internet daripada 1Gbps kepada 10Gbps dinikmati oleeh seluruh warga di Kampus Induk termasuk kolej-kolej kediaman UTeM.

“Bagi Kampus Teknologi pula perkhidmatan internet ditingkatkan daripada 2Gbps kepada 3Gbps. Manakala, peningkatan rangkaian antara Kampus Induk dan Kampus Teknologi dinaikkan daripada 550Mbps kepada 800Mbps.

“Operasi menaik taraf kelajuan capaian internet dilaksanakan secara optimum dan berjalan dengan lancar serta menyeluruh, lalu impaknya mula dinikmati oleh seluruh warga UTeM pada masa kini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast