KLANG – Kegiatan lumba haram di daerah Klang Selatan meningkat secara mendadak dengan 61 lokasi tumpuan dikenal pasti berbanding 16 tahun lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara lokasi utama yang menjadi tumpuan aktiviti haram ialah Persiaran Raja Muda Musa di Klang.
“Klang Selatan telah dikenalpasti menjadi antara lokasi tumpuan kegiatan lumba haram dan Persiaran Raja Muda Musa adalah lokasi panas bagi kegiatan itu.
“Setakat bulan Oktober lalu, sebanyak 163 individu yang berusia lingkungan antara 16 hingga 30-an berjaya diberkas selepas terlibat dalam kegiatan perlumbaan haram,” katanya ditemui dalam Program Konvoi Selangor Police Community Ride 2023 di Jalan Tengku Kelana dekat sini.
Program berkonvoi dengan motosikal berkuasa tinggi itu disertai 70 pegawai dan anggota IPK Selangor termasuk ketua-ketua polis setiap daerah di negeri Selangor yang dilepaskan flagoff oleh Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam 10.30 pagi tadi di Mess Pegawai Kanan IPK Selangor, Shah Alam.
Tambah beliau, polis memandang serius perkembangan terbaharu ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan lumba haram.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap isu membabitkan lumba haram, sama ada yang menyertai perlumbaan atau menonton aktiviti tersebut.
“Penglibatan dalam lumba haram boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 42 dan 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Lumba haram bukan sahaja merisikokan nyawa individu terlibat dalam aktiviti itu malah juga pengguna jalan raya lain,” tegasnya.-MalaysiaGazette