kamil munim
Muhammad Kamil Abdul Munim

PUTRAJAYA – Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim mendedahkan, seorang individu menawarkan ganjaran wang tunai RM5 juta bagi sesiapa yang berjaya membunuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, tawaran itu dibuat oleh pemilik akaun TikTok ‘Jaiadani89’ dan disedari oleh pihaknya kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, individu terbabit dipercayai cuba menyebarkan sentimen kebencian dan menghasut rakyat atas motif politik.

“AMK kesal dengan ancaman keras sebegini kerana jika tidak dikawal dibimbangi boleh memusnahkan sistem sosial tanah air yang terdiri daripada masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Muhammad Kamil memberitahu, pegawai khasnya, Mohamad Syazreen Ezam Mohd Saidi telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, kira-kira pukul 1.40 tengah hari tadi.

“Kami menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut,” jelasnya. – MalaysiaGazette