MINNEAPOLIS – Derek Chauvin, bekas pegawai polis Minneapolis yang disabitkan kesalahan atas kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd, telah ditikam dalam penjara dan cedera parah.
Associated Press, memetik seorang sumber yang berkata, kematian Floyd pada 2020 mencetuskan gelombang protes di seluruh dunia terhadap kekejaman polis dan perkauman selepas Chauvin, yang berkulit putih, melutut di leher lelaki Afrika-Amerika yang digari selama lebih sembilan minit dalam tragedi tersebut.
Kejadian itu dirakamkan dan kemudian tular.
Biro Penjara Persekutuan mengesahkan seorang banduan yang tidak dikenali telah diserang di Institusi Koreksional Persekutuan di Tucson di Arizona, tetapi enggan mengesahkan sama ada individu tersebut adalah Chauvin.
Chauvin, 47, ditikam oleh seorang lagi banduan di penjara itu, kata agensi berita itu, memetik sumber yang tidak diberi kuasa untuk mendedahkan serangan itu.
The New York Times juga melaporkan Chauvin ditikam, memetik dua orang sumber.
Dalam kenyataannya, biro itu berkata, pekerja penjara telah bertindak terhadap serangan itu bagi menyelamatkan Chauvin dan kemudian membawanya ke hospital untuk rawatan.
Tiada pekerja atau banduan lain dalam keadaan bahaya.
Chauvin sedang menjalani hukuman penjara selama 21 tahun kerana melanggar hak sivil Floyd, dan tempoh serentak 22½ tahun kerana membunuh selepas disabitkan oleh Mahkamah Minnesota.
Pada 20 Nov, Mahkamah Agung Amerika Syarikat enggan mendengar rayuan Chauvin terhadap sabitan pembunuhan mahkamah negerinya.
Rayuan itu difailkan selepas mahkamah rayuan Minnesota mengekalkan sabitan membunuhnya pada 2021 dan menolak permintaannya untuk perbicaraan baharu.
Chauvin mendakwa juri dan hakim berat sebelah. – Agensi