Anthony Loke Siew Fook

SHAH ALAM – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengimbau kembali kemenangan parti itu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor beberapa bulan lepas dengan semua kerusi yang ditandinginya menang dengan majoriti selesa.

Kemenangan DAP di 15 kerusi yang ditandingi di Selangor juga adalah rekod yang baik parti itu dan dikekalkan sejak beberapa pilihan raya.

Katanya, rata-rata analisis membuat telahan bahawa DAP akan kalah beberapa kerusi termasuklah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek.

“Ramai buat analisis DAP akan dapat sekurang-kurangnya di tiga kerusi DUN di Selangor. Tapi kita sekali lagi buktikan analisis itu salah dan kita menang semua kerusi termasuk kerusi mencabar. Antaranya kerusi Sungai Pelek telah berjaya kita pertahankan.

“Sebenarnya inilah kejayaan yang sangat kita banggakan yang mana Sungai Pelek, majoriti pengundi adalah Melayu. Ramai kata kita akan kalah di sana tapi sokongan rakan-rakan parti komponen kerajaan, kita menang dengan majoriti selesa,” katanya ketika Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2023 di SACC di sini hari ini.

Anthony juga berkata, kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebenarnya telah menyumbang kepada kestabilan politik bukan sahaja di peringkat negeri sebaliknya Persekutuan.

“Pihak lawan (PN) begitu teruja mendedahkan kononnya mahu mengambil alih Kerajaan Persekutuan namun kemenangan kita telah junamkan hasrat itu. Saya perlu ucapkan terima kasih kepada Selangor,” ujarnya. -MalaysiaGazette