SHAH ALAM – Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo mengingatkan bahawa tiada sebarang pertukaran kerajaan di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk lima tahun akan datang.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara menegaskan, terdapat ura-ura kononnya pembangkang masih berharap untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan namun hakikatnya itu hanya sekadar propaganda menipu memesongkan rakyat.

“Saya ada terbaca sekali lagi beberapa hari lepas kononnya masih ada harapan untuk tukar kerajaan. Saya beritahu anda sekelian, untuk lima tahun akan datang tidak akan ada sebarang pertukaran. Hanya kerajaan Perpaduan sahaja.

“Untuk lima tahun akan datang ini, hanya akan Kerajaan Perpaduan yang stabil, kukuh dan berpaksikan rakyat.

“Terima kasih juga kepada rakyat yang sentiasa menyokong kita. Rakyat sokong kita bukan sahaja di peringkat Persekutuan sebaliknya juga negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan di Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2023 yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung, Anthony Loke di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini pagi ini. -MalaysiaGazette