Tiga suspek samun bersenjata yang masih diburu polis. Dari kiri Chini Kanna, Orchard Ravi dan Lachi. Foto IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Polis berjaya memberkas sekumpulan lelaki bersenjata yang pecah masuk dan  samun pasangan suami isteri di Taman Chi Liung Klang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis menerima maklumat kes tersebut pada 18 November lalu.

Selepas menerima laporan tersebut, lebih kurang 4.15 pagi, sepasukan polis dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuat serbuan di sebuah rumah yang terletak di Jalan Hong Huat, Klang – dipercayai tempat suspek bersembunyi.

“Hasil daripada serbuan yang dilakukan di rumah itu, pasukan polis berjaya menahan seramai tujuh suspek yang dipercayai melakukan jenayah samun bersenjata yang disiasat polis.

“Pemeriksaan lanjut ke atas mereka juga berjaya membawa kepada rampasan sejumlah barang kes untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hoong Fong berkata, kejadian pecah rumah dan samun itu berlaku pada pukul 3.30 pagi ketika warga emas wanita berusia 61 tahun sedang lena tidur dalam biliknya, sebelum terdengar bunyi ketukan kuat di pintu rumah.

“Mangsa yang memeriksa bunyi itu dan membuka pintu rumahnya lalu terkejut apabila mendapati beberapa lelaki bertopeng dengan bersenjatakan parang dan kapak berada di depan mata.

“Suspek kemudian meluru masuk ke dalam rumah dan telah mengikat tangan mangsa suri rumah itu sebelum mengambil barang-barang milik mangsa.

“Tidak lama kemudian, suami mangsa yang telah sampai ke rumah semasa kejadian itu turut disamun oleh suspek tersebut,” tambahnya.

Kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan namun kerugian wang tunai, telefon bimbit dan dokumen penting dianggarkan sekitar RM2,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dengan menggunakan senjata.

Kesemua suspek yang ditangkap adalah berumur lingkungan antara 24 hingga 45 tahun dan mendapati kesemua suspek mempunyai sekurang-kurangnya tujuh rekod lampau bersabit jenayah dan kesalahan dadah.

Menurut beliau, tiga lagi suspek dalam kes samun bersenjata ini yang masih bebas dan dikehendaki untuk membantu siasatan.

Tiga suspek tersebut bernama Mohan Raj Mookaiah@ Chini Kanna, 39, Raviendran Ramakasnin@Orchard Ravi, 51, dan Lachmianan Sankaram@Lachi, 44. – MalaysiaGazette