KUALA LUMPUR – Seramai 245 pelajar dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) pelbagai kategori dilatih dalam bidang Teknologi Rekabentuk Grafik, Teknologi Elektronik dan Teknologi Mekatronik bagi tempoh antara 2020 hingga 2024.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kesemua OKU yang dilatih di Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) diberikan bantuan dalam bentuk elaun sebanyak RM300 selain pengecualian yuran pengajian.
Ujarnya, ia merupakan antara inisiatif kerajaan yang prihatin terhadap penyertaan golongan itu dalam pasaran pekerjaan.
“Dalam memperkasakan usaha kerajaan untuk membantu OKU, KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) telah dipertanggungjawabkan mengetuai Jawatankuasa Pekerjaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Jawatankuasa ini bertujuan untuk membincangkan dan mencadangkan langkah penyelesaian isu akses pekerjaan OKU,” katanya di Dewan Rakyat menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan (Barisan Nasional).
Katanya, KESUMA menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah memberi pentauliahan kepada 1,582 pusat bertauliah di seluruh negara, yang mana 922 daripadanya menerima pelatih OKU untuk mengikuti latihan kemahiran.
Jelas beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak tujuh pusat bertauliah telah dikhususkan sepenuhnya kepada pelatih OKU.
Katanya, sehingga tahun lalu lebih 2,100 pelatih OKU pentauliahan Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM).
Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan golongan OKU dengan kemahiran latihan asas melalui pelbagai kursus yang berfokuskan kompetensi atau persijilan melalui program PWD Development, inisiatif di bawah Program Latihan Madani.
Katanya, setakat tahun lalu seramai 1,915 OKU menyertai program tersebut. – MalaysiaGazette
















