Ab Rauf menunjukkan buku Bajet 2024 sebelum pembentangan bajet pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Melaka mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kakitangan awam di negeri ini.

Berita gembira itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka bertemakan ‘Menelusuri Warisan, Mengembalikan Kegemilangan’, hari ini.

Menurutnya bantuan khas kepada 4,400 kakitangan awam dan kontrak itu melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM10 juta dan akan disalurkan bermula Februari dan Mac tahun depan.

“Pemberian ini sebab selama saya mentadbir urus negeri Melaka dalam tempoh lapan bulan ini mereka memberi kerjasama dan hasil kerja yang baik.

“Jadi sebagai menghargai jasa penjawat awam ini saya telah berunding dengan Pegawai Kewangan Negeri dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri maka kita umumkan minimum bonus itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas pembentangan bajet pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, bajet keseluruhan bagi tahun 2024 dianggarkan berjumlah RM564.6 juta manakala, hasilnya dianggarkan berjumlah RM479.6juta.

Daripada jumlah itu, anggaran hasil cukai adalah sebanyak berjumlah RM167.4 juta selain hasil bukan cukai RM298.9 juta dan terimaan bukan hasil RM13.3 juta.

“Kerajaan Melaka juga meneruskan inisiatif bajet lebihan atau surplus budget, dengan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM479.5 juta.

“Iaitu bagi maksud tanggungan dianggarkan berjumlah RM14.8 juta manakala bagi maksud bekalan dengan anggaran berjumlah RM464.7 juta,” katanya. – MalaysiaGazette.