KDNK Terengganu
Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan meneruskan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan bayaran Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) termasuk royalti petroleum bagi tahun ini dapat diselesaikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri komited dan percaya bahawa prinsip ‘kita bertemu dan berbincang’ merupakan langkah terbaik bagi menyelesaikan sebarang isu yang timbul termasuk dalam usaha mendapatkan hasil royalti petroleum.

“Sehingga kini kerajaan negeri menganggarkan telah menerima sebanyak RM510 juta daripada keseluruhan RM1.524 bilion wang royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan.

“Pelbagai pendekatan telah diambil oleh kerajaan negeri sama ada dari segi pentadbiran pengurusan, bertemu dengan rakan sejawat di kementerian dan saya sendiri bertemu dengan mereka yang boleh membuat keputusan (menyelesaikan bayaran DKKP),” katanya pada sesi soal jawab lisan sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (PAS-Bandar) mengenai jumlah royalti minyak yang belum dibayar oleh kerajaan Persekutuan kepada Terenganu bagi baki tahun 2023.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan penggunaan istilah ‘Wang Royalti Petroleum’ meskipun berlaku beberapa perubahan terma dan istilah dibuat oleh kerajaan Persekutuan sejak 1978. – Bernama