KUALA LUMPUR – Generasi Penamat Rokok (GEG) diketepikan secara sementara daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 selepas mendapat pandangan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia bukan pengguguran secara kekal, sebaliknya kementerian berkenaan mengambil keputusan untuk mengutamakan penggubalan RUU tersebut tanpa isu berbangkit berkaitan perundangan kelak.

“Paling penting untuk kita adalah melakukan kawalan, bila pandangan itu diberikan kita fikir kita memastikan kawalan produk merokok didahulukan. Sebab kita tidak mahu ada rentetan isu daripda itu. Disebabkan pandangan AGC kita tidak boleh meneruskan jika ada kelompongan jadi kita dahulukan.

“Kita mendahulukan mana yang lebih penting kita datangkan dulu RUU yang put aside first GEG. Bukan Kita lupakan terus GEG tapi memastikan RUU yang lebih ketat dalam pengawalan merokok ini,” kata beliau pada Sesi Taklimat Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan pengamal media di Parlimen, hari ini.

Beliau mengakui keputusan tersebut mengundang pelbagai respon daripada pelbagai pihak namun beliau memberi jaminan keperluan untuk memasukkan semula GEG akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan pada masa akan datang.

Jelas Zaliha, pertimbangan akan dibuat berdasarkan keberkesanan RUU yang bakal dilaksanakan.

“Kita ketepikan dahulu kita lihat selepas RUU ini diluluskan kita buat pemantauan, macam mana keputusan, kesannya kepada anak-anak. Kalau kita rasa ada keperluan melihat kembali keperluan GEG ini mungkin ketika itu kita bawa kembali tapi saya tidak bawa garis masa.Kita ketepikan dulu, kita utamakan apa yang perlu,” katanya.

Mengulas lanjut ujarnya, RUU berkenaan memfokuskan usaha mendidik agar masyarakat khususnya remaja berusia bawah 18 tahun (OBD) tidak merokok.

“Penting untuk kita memastikan akhirnya cakap negara yang tanpa rokok, tidak hanya perundangan itu satu hal tapi dari sudut lainnya pendidikan supaya dekat di hati.

“Itu bergantung budi bicara semasa jika seseorang didapati bersalah. Dilakukan oleh pegawai penguatkuasa,” kata Zaliha.

Sementara itu, beliau enggan mengulas lanjut respon bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkenaan pengguguran GEG dalam RUU itu.

Zaliha hanya menyifatkan respon disuarakan bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebagai pandangan peribadi.

“Itu pandangan peribadi, sesiapa boleh cakap apa-apa pun,” tambahnya.

Khairy menerusi Instagram Story mendakwa pengguguran GEG berpunca daripada lobi yang kuat daripada syarikat tembakau dalam negara.

Ketika menjadi Menteri Kesihatan, Khairy mencadangkan GEG dalam RUU berkenaan untuk individu dilahirkan selepas 2007 memiliki, membeli mahupun merokok termasuk penggunaan vape.-MalaysiaGazette