peruntukan ahli parlimen sistem pembayaran terbuka
Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Inisiatif jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke ke ICQS Sadao dijangka dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Ia berikutan Lawatan Kerja yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke ICQS Sadao semalam atas jemputan rasmi Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand telah bersetuju secara dasarnya berhubung jajaran rekabentuk dan isu teknikal yang berkaitan untuk projek itu dapat dilaksanakan bagi memastikan tahap kesaling hubungan antara kedua-dua negara dapat ditingkatkan.

“Jaringan jalan penghubung ini terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5, dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter.

“Projek jalan ini juga melibatkan pengambilan tanah, perobohan dan pembinaan baharu Blok Asrama Kem Regimen Sempadan (5RS) serta beberapa struktur keselamatan lain seperti Pos Kawalan Akhir dan Pagar Keselamatan yang terkesan daripada jajaran jalan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Alexander berkata, pihaknya yakin dengan terbinanya jajaran baharu itu, keselesaan dan keselamatan pengguna dapat ditingkatkan selaras dengan aspirasi Kempen MyJalan.

Pada masa yang sama katanya, jalan baharu itu dijangka meningkatkan kegiatan ekonomi kedua-dua negara.

Semalam, Perdana Menteri berkata, lawatan kerja sehari beliau ke Sadao, di selatan Thailand adalah antara usaha bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala, untuk memajukan dan membangunkan kawasan Utara Semenanjung dan selatan Thailand.

Menurut Perdana Menteri, dalam pertemuan itu, kedua-dua negara turut berbincang mengenai jaminan pergerakan lalu lintas yang pantas dan selamat kepada rakyat, iaitu jajaran jalan baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand. – MalaysiaGazette