Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia, Mohd Roslan Abdullah (kiri) dan Pengarah Sokongan Korporat 1, Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, Cik Noor Zakiyah Hasan menandatangani memorandum kerjasama (MoC) di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia hari ini menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) selama tempoh tiga tahun untuk mempromosikan sektor pelancongan di Malaysia.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersepadu dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang menarik bagi pelancong.

Menerusi kerjasama tersebut, Perodua bakal mengembangkan model perniagaan baharunya, khasnya langganan kenderaan dan dalam masa yang sama mendapat maklum balas daripada pelancong asing mengenai pandangan mereka terhadap Perodua.

“Dengan menggabungkan kekuatan dan sumber Perodua serta Tourism Malaysia, kami bukan sahaja meningkatkan bilangan pelancong tetapi juga kepuasan mereka secara keseluruhan.

“Kami mahu setiap pengunjung meninggalkan Malaysia dengan perasaan kagum yang mendalam dan keinginan untuk kembali.

“Saya percaya kerjasama ini akan menjadi model bagi perkongsian pihak awam dengan pihak swasta dalam negara ini dan akan mempamerkan potensi perkongsian sebegini untuk memacu kemajuan dan kemakmuran,” katanya pada majlis menandatangani Moc itu, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Tourism Malaysia diwakili Pengarah Bahagian Pembangunan Pakejnya, Mohd Roslan Abdullah manakala Perodua diwakili Pengarah Sokongan Korporat 1 Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, Noor Zakiyah Hasan.

Di bawah MoC itu, kedua-dua pihak akan mencapai beberapa objektif penting yang bakal memberi manfaat kepada industri pelancongan serta ekonomi negara.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, objektif kerjasama itu  adalah selari dengan inisiatif ‘mobiliti adalah gaya hidup’ mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast