Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada Program Minggu Negarawan dengan tajuk Setahun Kerajaan PHBN di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 29 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan enggan menerima langkah yang pernah dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengatasi kejatuhan mata wang negara termasuk menambat ringgit daripada pasaran.

Bekas Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kemampuan untuk menetapkan kadar pertukaran mata wang itu.

“Dulunya kita mengalami kejatuhan nilai mata wang, kita ambil tindakan supaya mengeluarkan mata wang kita daripada pasaran, dengan itu kita selamatkan negara kita, negara lain juga selamat.

“Tetapi kerajaan pada hari ini tidak mampu nak tetap kadar pertukaran mata wang kerana mereka takut pasaran tidak terima nilai baharu, maka mereka akan menghadapi masalah.

“Sekarang ini kerajaan kita menolak pendapat itu iaitu mereka tidak akan tetapkan kadar tukaran (tambat ringgit) kerana cara ini bukan amalan dunia.

“Anwar ini tak tahu duit, yang dia tahu belanja sahaja,” katanya pada Minggu Negarawan bertajuk Setahun Kerajaan PH-BN di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada Program Minggu Negarawan dengan tajuk Setahun Kerajaan PHBN di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 29 NOVEMBER 2023.

Dr Mahathir juga berkata, pentadbirannya sebelum ini juga berdepan kejatuhan mata wang namun berjaya mengatasinya melalui penubuhan beberapa jawatankuasa bertindak.

“Kita tetapkan kadar mata wang, kita kena membiayai semula, kena kurangkan tekanan pinjaman tidak berbayar.

“Kita kena tangani masalah hutang yang tidak dibayar, semua ini boleh dibuat, kita berjaya sehingga IMF dan Bank Dunia mengakui bahawa cara Malaysia adalah yang terbaik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette