BATU MAUNG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam insiden runtuhan bangunan logistik yang sedang dalam pembinaan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, diteruskan hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Khairy Sulaiman berkata, pihaknya mendapat petunjuk baharu bahawa mangsa-mangsa yang masih tertimbus berada pada jarak berdekatan antara satu sama lain.
“Maklumat yang kami terima daripada pihak kontraktor dan pemaju, mangsa-mangsa berada berdekatan beberapa meter antara satu sama lain susulan mereka sedang menjalankan kerja-kerja meletakkan rasuk (beam).
“Kita menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) melibatkan dua ekor anjing serta tiga pengendali.
“Kita tidak akan menghentikan operasi sehingga kesemua mangsa ditemui, namun sekiranya cuaca hujan atau sebaliknya kita akan buat penilaian situasi semula,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah beliau, operasi turut mengalami kesukaran berikutan pasukan keselamatan perlu mengangkat dan mengalihkan konkrit serta rasuk di lokasi kejadian.
“Terdapat 14 rasuk di kawasan itu dan kesemuanya jatuh menimpa buruh berkenaan dan ini menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa mengguna kren bagi mengangkat struktur binaan untuk memudahkan akses mencari mangsa.
Terdahulu Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tiga mangsa yang terperangkap ditemui maut manakala dua lagi cedera parah dan sedang menerima rawatan di hospital Pulau Pinang, setakat jam 1.40 pagi tadi.
Operasi kini sedang fokus mencari empat lagi warga Bangladesh yang dikhuatiri tertimbus. – MalaysiaGazette