Rasuk (beam) besar dan berat menyebabkan SAR runtuhan pembinaan bangunan logistik di Batu Maung, Pulau Pinang sukar.

BATU MAUNG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berdepan kesukaran dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa runtuhan bangunan logistik yang masih dalam pembinaan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, malam tadi susulan struktur konkrit rasuk (beam) besar serta berat.

Timbalan Pengarahnya, Zulfahmi Sutaji berkata, kawasan kejadian adalah seluas sebuah gelanggang bola keranjang.

Jelasnya, pihak bomba terpaksa menggunakan bantuan jentera kren bagi mengalihkan rasuk (beam) yang dianggarkan seberat 14 tan sebelum meneruskan SAR mengeluarkan mangsa terperangkap.

Zulfahmi.

“Setakat ini, empat lagi mangsa terperangkap dan kita menggunakan kren untuk membersihkan kawasan runtuhan supaya mudah untuk akses kepada mangsa.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga kesemua mangsa terperangkap dikeluarkan dan Unit Anjing Pengesan (K9) akan dipanggil sekiranya perlu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian awal pagi tadi.

Terdahulu bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian runtuhan tersebut jam 9.58 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, BBP Seri Balik Pulau dan BBP Jalan Perak bergegas ke lokasi.

Bangunan yang sedang dalam pembinaan itu merupakan kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, gudang dan lain- lain lagi.

Rasuk (beam) yang jatuh itu dianggarkan seberat 14 tan.

Sementara itu, Konsul Kehormat Bangladesh, Datuk Shaik Ismail Allaudin berkata, pihaknya masih menunggu maklumat berhubung identiti kesemua mangsa terlibat.

“Saya dimaklumkan kesemua mangsa yang terperangkap dalam runtuhan itu merupakan buruh binaan warga Bangladesh namun kita masih perlukan dokumen pengesahan sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Buat masa ini, saya belum masih boleh berikan apa-apa kenyataan sehingga pihak kontraktor pembinaan bangunan ini menyerahkan butiran mengenai mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette