Gambar hiasan

BUTTERWORTH – Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat teknologi maklumat didenda RM30,000 dan satu hari penjara selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menipu berhubung kerja-kerja pembekalan peralatan keselamatan pada 2016.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Aziedy Abd Talib, 42, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding hari ini, yang ditetapkan untuk perbicaraan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memperdaya kakitangan Mutiara.Com Sdn Bhd bagi mendorong bayaran berjumlah RM50,000 dan RM25,000 bagi kerja-kerja pembekalan peralatan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan pemasangan interkom bagi projek Pangsapuri Seri Bayu, Daerah Barat Daya.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Aziedy didakwa memperdaya kakitangan sama bagi mendorong bayaran sebanyak RM40,000 bagi kerja-kerja perkhidmatan “Kaspersky Antivirus License Renewal Consultation Service” yang tertuduh mengetahui ia tidak benar.

Semua kesalahan itu dilakukan sekitar Mac hingga Oktober 2016 dan pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun. – Bernama