KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu bahawa kerajaan sedang menggubal dasar dan akta khusus mengenai pengurangan risiko bencana, kata Datuk Armizan Mohd Ali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berkata, penggubalan dasar itu bagi memastikan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana ekoran Monson Timur Laut.
“Kita juga dalam proses untuk menggubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana dan mempertimbangkan satu akta khusus untuk meningkatkan kesiapsagaan.
“Sebaik sahaja mendapat kelulusan dasar daripada Kabinet nanti, kita akan buat pelbagai sesi libat urus dan mengharapkan sokongan semula Ahli Parlimen, katanya ketika menjawab soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin tahu apakah usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dan daya tahan negara bagi menghadapi bencana seperti banjir.
Dalam pada itu, Tan Hong Pin (PH-Bakri) turut mengutarakan masyarakat orang asli di kawasan beliau tidak mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak biarpun banjir telah berlaku selama dua minggu.
“Saya ingin bertanya samada perkara ini diuruskan oleh JAKOA ataupun disalurkan terus NADMA melalui Pejabat Daerah,” tanya beliau.
Amizan berkata sekiranya bantuan itu adalah Bantuan Wang Ihsan, maka ia adalah dibawah tanggungjawab Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Inilah antara penambahbaikan yang ingin kita ingin laksanakan sebab sekiranya kita melihat mekanisma sedia ada, penyaluran wang bantuan itu telah diberikan kepada jawatankuasa pengurusan bencana negeri-negeri dan daripada segi senarai, NADMA tidak perlu lagi menyemak.
“Peruntukan boleh disalurkan kepada mangsa berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan,” jawab Armizan. – MalaysiaGazette