Festival ASEAN Kuala Lumpur berlangsung di pusat beli-belah Lalaport di Bukit Bintang City Centre.

KUALA LUMPUR – Festival ASEAN Kuala Lumpur selama empat hari bermula hari ini menyasarkan seramai 20,000 pengunjung.

Pengasasnya, Eldrick Koh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 30 peratus pengunjungkan disasarkan dalam kalangan pelancongan asing memandangkan lokasinya yang strategik di tengah ibu kota iaitu pusat beli-belah Lalaport di Bukit Bintang City Centre.

Beliau berkata, festival yang julung kali diadakan itu merupakan bukti kepada warisan ASEAN yang kaya dan beraneka selain menawarkan pengalaman berbeza dalam budaya pelbagai termasuk masakan, muzik dan persembahan memukau.

“Festival ASEAN Kuala Lumpur ini mempunyai tiga komponen utama iaitu ASEAN Market di mana kira-kira 90 gerai menawarkan pelbagai produk dan kraf dari negara-negara ahli termasuk barangan unik, dan hidangan makanan dan minuman.

“Komponen kedua adalah ASEAN Travel Fair yang menyediakan Pameran ASEAN untuk Muslim dan bukan Muslim yang menampilkan wakil-wakil dari pelbagai agensi pelancongan negara terlibat.

“Seterus komponen terakhir adalah Pesta Muzik ASEAN yang menyajikan pertunjukan budaya oleh kedutaan Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia termasuk tarian tradisional selain petunjukan muay thai, peragaan fesyen dan konsert muzik,” katanya pada majlis pelancaran festival itu di sini hari ini.

Pesta Muzik ASEAN yang menyajikan pertunjukan budaya dari negara terlibat.

Mengulas lanjut, Koh menambah, Festival ASEAN Kuala Lumpur telah mendapat sokongan rasmi oleh Tourism Malaysia, Kerajaan Malaysia Madani dan Kedutaan ASEAN serta pelbagai persatuan, jenama dan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa di negara ini.

Menurutnya, ini membuktikan penglibatan semua pihak dalam memupuk perpaduan budaya dan mempromosikan sektor pelancongan, sekali gus menjadikannya usaha kolaboratif yang merentasi sempadan.

“Orang ramai diharap tidak melepaskan peluang dalam mencuba pelbagai keunikan budaya merangkumi seksyen gastronomi yang menawarkan pengembaraan dari negara ASEAN yang berbeza.

“Selain makanan, mereka juga boleh menerokai produk-produk aksesori tulen dan produk seni dan kraf yang menarik.

“Sepanjang acara juga, pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti pakej pelancongan dalam dan luar negara serta beberapa lagi hadiah lain termasuk telefon Vivo terbaharu, jam tangan Huawei, peluang untuk memandu uji dan memenangi basikal elektrik,” katanya. – MalaysiaGazette

Festival ASEAN Kuala Lumpur telah mendapat sokongan rasmi oleh Tourism Malaysia, Kerajaan Malaysia Madani dan Kedutaan ASEAN.