Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 pada perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 diantara Malaysia menentang Republik Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya melonjak tujuh anak tangga untuk menduduki tempat ke-130 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.

Menurut laman sesawang www.fifa.com, skuad kendalian Kim Pan Gon itu mengumpul keseluruhan 1,122.87 mata untuk meningkat daripada posisi ke-137 dunia yang dihuni sejak 26 Okt lepas.

Perkembangan positif itu dicapai susulan kejayaan Malaysia dalam saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan masing-masing menewaskan Kyrgyzstan 4-3 pada 16 Nov dan Taiwan 1-0 pada  21 November lalu.

Malaysia memperoleh tambahan 26.15 mata secara keseluruhan selepas dua kemenangan itu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam misi memastikan Harimau Malaya berada dalam kelompok 120 terbaik menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, Malaysia masih jauh ketinggalan daripada negara Asia Tenggara lain antaranya Vietnam di kedudukan ke-94 sementara Thailand di kedudukan ke-113.

Bagi zon Asia, lima pasukan terbaik ialah Jepun yang menduduki ranking ke-17 dunia, Iran (ke-21), Korea Selatan (ke-23), Australia (ke-25) dan Arab Saudi (ke-56).

Sementara itu, juara Piala Dunia 2022, Argentina kekal sebagai pasukan nombor satu dunia diikuti Perancis di tempat kedua, England (ketiga), Belgium (keempat) dan Brazil melengkapkan pasukan lima teratas dalam ranking FIFA. – Bernama