KUALA LUMPUR – Selepas Ikhwan Yazek dan Fazrul Amir Zaman, seorang lagi pemain muda, Muhaimin Izuddin menjadi pemain terbaru meninggalkan Kelantan FC selepas dua tahun menabur bakti buat negeri kelahirannya itu.
Pengesahan perpisahan bersama Kelantan itu dibuat menerusi laman Instagram peribadinya pada hari ini.
“Saya Muhaimin ingin mengucapkan selamat tinggal kepada TRW Kelantan.Terima kasih kepada jurulatih dan staf yang terlibat sepanjang dua tahun.
“Terima kasih juga untuk penyokong yang mendoakan kejayaan saya di sini. Semoga kita berjumpa lagi,” katanya.
Ucapan perpisahan yang dibuat Muhaimin itu jatuh pada tarikh sama untuk pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) menyerahkan bukti pembayaran tunggakan gaji kepada First Instance Body (FIB) bagi mendapatkan lesen kebangsaan musim depan.
Sekiranya gagal berbuat demikian, Kelantan tidak dibenarkan beraksi di Liga Super musim depan yang mana mereka perlu memulakan saingan musim 2024/2025 dalam Liga M3.
Sebelum ini, timbul khabar angin tiga pasukan Liga Super sedang berebut untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 21 tahun itu.
Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sri Pahang FC antara pasukan yang disebut-sebut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap itu. – MalaysiaGazette