Foto Facebook Baddrol Bakhtiar.

KUALA LUMPUR – Kehadiran bekas pemain legenda Kedah, Baddrol Bakhtiar sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu kini mula memberikan impak yang positif buat sektor sukan negeri tersebut.

Ini kerana, beliau mencadangkann peruntukan RM4 juta daripada Kerajaan Kedah di bawah pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bagi membaik pulih Stadium Darul Aman dari segi pencahayaan lampu dan juga menaik taraf trek larian.

Baddrol berkata, dia berpendapat keadaan trek di stadium tersebut sangat uzur dan telah wujud sejak beliau mula bermain bola sepak lagi.

“4 juta (peruntukan) bagi membaik pulih keadaan Stadium Darul Aman. Trek tersebut telah lama berada dalam keadaan uzur, sejak saya bermain bola sepak lagi,” katanya yang berbahas pertama kali dalam Sidang DUN Kedah semalam.

Biarpun sudah menceburi bidang politik sejak Ogos lalu secara rasmi sebagai ADUN, Baddrol sehingga kini masih belum mengumumkan persaraan.

Untuk musim 2023, Baddrol sempat beraksi dalam 15 perlawanan buat Sabah FC dengan berjaya meledak lima jaringan dan turut menyumbang dua bantuan gol.

Namun jodohnya bersama Sabah terlerai pada Julai lalu selepas persetujuan bersama dapat dicapai kedua-dua pihak.

Sebulan selepas meninggalkan Sabah, Baddrol bertanding dalam Pilihan Raya Negeri bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.

Baddrol mencipta kejutan apabila menang besar di DUN tersebut dengan memperoleh 17,771 undi dan majoriti sebanyak 6,684. – MalaysiaGazette