Vijay Pillay.

GEORGE TOWN – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang menyifatkan kenyataan Pemuda Parti Gerakan negeri ini berhubung pembinaan terowong dasar laut tidak bertanggungjawab serta berbaur hasutan.

Timbalannya, R. Vijay Pillay berkata, kenyataan parti itu juga dilihat memperlekehkan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan mutu kehidupan rakyat Pulau Pinang khususnya meningkatkan kesalinghubungan jaringan pengangkutan.

Jelas beliau, Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah menolak atau membatalkan pelaksanaan terowong dasar laut seperti yang dinyatakan oleh Jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Tan Zhen Zune.

“Ia terbukti apabila Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari telah menyatakan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa pelaksanaan projek terowong dasar laut adalah tertakluk kepada hasil Pelan Induk Pembesaran North Butterworth Container Terminal (NBCT) oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) yang bakal dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

“Umum mengetahui, terowong dasar laut yang bakal menghubungkan kawasan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam (Pakej 4) merupakan salah satu daripada komponen projek-projek utama dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

“Tujuan pelaksanaan terowong ini adalah penting dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas yang kian meruncing khususnya di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai tohmahan kononnya kerajaan negeri telah membuat pembayaran untuk pelaksanaan projek tersebut, Vijay Pillay menegaskan ia tidak tepat.

“Zairil telah menerangkan bahawa bayaran yang dibuat oleh kerajaan negeri secara ‘land swapping’ dahulunya bukan untuk projek ini.

“Pembayaran yang dibuat menggunakan kaedah ‘land swapping’ hanya untuk laporan kebolehlaksanaan dan perincian reka bentuk bagi tiga projek lebuh raya utama iaitu Pakej 1, 2 dan 3.

“Sehubungan itu, pesanan mesra saya, jangan keluarkan tohmahan palsu semata-mata untuk meraih populariti murahan. Ingat, rakyat Pulau Pinang menilai dan kegagalan yang berterusan oleh Parti Gerakan di Pulau Pinang selama 15 tahun ini harus dijadikan pengajaran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast