Antara rampasan pelbagai jenis barangan tidak bercukai, kawalan dan kontraban dirampas polis sepanjang tahun ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas pelbagai jenis barangan tidak berkastam, hidupan liar dan barangan kawalan dianggarkan bernilai RM920 juta pada sepanjang tahun ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, jumlah itu direkodkan menerusi pelaksanaan 7,033 serbuan termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah sejak Januari hingga November tahun ini.

Katanya, dalam serbuan itu, seramai 5,099 individu telah berjaya ditahan dalam operasi oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP).

“Rampasan itu melibatkan makanan sejuk beku, ubat-ubatan palsu, barangan tidak berkastam termasuk kontraban, hidupan liar dan barangan kawalan.

“KDNKA amat komited dalam membantu kementerian serta agensi di bawah kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan dalam melancarkan operasi berkualiti sehingga berjaya menangani pelbagai isu-isu ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hazani, JKDNKA sentiasa fokus dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak berkastam, penyelewengan badangan kawalan dan bersubsidi selain memelihara khazanah negara.

“Ia sangat penting bagi memastikan hasil negara dan ketenteraman negara sentiasa dapat dilindungi dan terpelihara.

“Penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis amatlah digalakkan bagi memastikan kegiatan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” tegas beliau. -MalaysiaGazette