Antony Blinken

ISTANBUL – Kehilangan ‘besar’ nyawa dan perpindahan orang awam di utara Gaza tidak boleh berulang lagi di bahagian selatan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken berkata, negara itu sudah memaklumkan perkara itu kepada Israel.

“Kami membincangkan butiran perancangan berterusan Israel, dan Amerika Syarikat menekankan kehilangan besar nyawa orang awam dan perpindahan skala besar yang kita lihat di utara Gaza tidak boleh berulang di selatan,” katanya.

Blinken berkata demikian semasa taklimat media selepas bertemu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Beliau berkata, Israel telah bersetuju dengan permintaan AS supaya ia merumuskan strategi yang “memberi keutamaan untuk melindungi orang awam”.

Tentera Israel juga harus mengelak daripada menyasarkan infrastruktur penting seperti hospital, stesen janakuasa dan kemudahan air.

Beliau berkata, orang awam yang dipindahkan dari selatan Gaza juga harus ditawarkan “pilihan untuk kembali ke utara sebaik sahaja keadaan mengizinkan”. – Agensi