Tangkap layar menunjukkan suspek melarikan budak perempuan berusia tiga tahun ketika bapanya membayar pesanan makanan di kedai roti canai di Gurun, Kedah pada 26 November lalu.

SUNGAI PETANI – Lelaki warga Nepal yang cuba melarikan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di hadapan sebuah kedai roti canai di Pekan Jeniang, Gurun di sini, pada Ahad lalu berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek berusia 26 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Gurun esok.

“Siasatan kes itu telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri pada 30 November lalu dan arahan mendakwa suspek dibenarkan.

“Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Gurun esok,” katanya hari ini.

Media pada 26 November lalu melaporkan  seorang bapa cemas apabila lelaki warga Nepal bertindak melarikan anak perempuannya berusia tiga tahun sebelum mengacukan pisau pada leher kanak-kanak terbabit dalam kejadian di hadapan sebuah kedai roti canai di Pekan Jeniang di sini

Kejadian jam 7.10 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 31 tahun itu mahu membayar dan mengambil tempahan roti canai di kedai tersebut sementara anaknya ditinggalkan di atas motosikal dengan kaki di dalam raga kira-kira enam meter dari kedai berkenaan.

Insiden berlaku apabila suspek berusia 26 tahun bertindak meluru ke arah mangsa yang ditinggalkan bersendirian dan mendukungnya sebelum mengundur beberapa langkah sambil mengacukan pisau pada leher mangsa.

Zaidy sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan awal yang dijalankan pihaknya mendapati suspek masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah kilang di Sungai Lalang sejak sebulan lalu.

Namun akibat tekanan kerja yang dihadapi, dia telah melarikan diri daripada majikannya.

Soal siasat awal turut mendapati motif suspek bertindak demikian kerana terlalu tertekan dengan hidupnya, selain kelaparan kerana sudah beberapa hari tidak makan. – MalaysiaGazette