KUALA LUMPUR – Hujan lebat berterusan malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kelantan dinaiki air sekali gus menambah bilangan mangsa banjir di negeri tersebut kepada 655 orang daripada 207 keluarga setakat 8 pagi ini.

Berdasarkan laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga ditambah kepada lima berbanding tiga semalam.

PPS SK Gual To’Deh di Pasir Mas menempatkan 226 mangsa daripada 77 keluarga dan 64 orang daripada 26 keluarga di SMK Baroh Pial.

Di Bachok, 241 mangsa daripada 66 keluarga berlindung di PPS SMK Beris Panchor dan SK Jelawat pula menempatkan 114 mangsa daripada 35 keluarga manakala di jajahan Machang PPS SK Pulai Chondong menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

Terdahulu, semalam seramai 594 orang mangsa banjir daripada 181 keluarga yang terjejas akibat banjir di negeri berkenaan.

Sementara itu di Johor pula, mangsa banjir kilat dari lima kampung di Johor Bahru menurun sedikit kepada 565 orang 8 pagi ini, berbanding 582 orang pada 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dipetik sebagai berkata, semua mangsa daripada 150 keluarga itu ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru dan SK Bukit Mutiara.

Menurut kenyataan itu, seramai 312 orang daripada 84 keluarga dari Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau ditempatkan di PPS SK Bukit Mutiara.

PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru pula menempatkan 253 orang daripada 66 keluarga dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat.- MalaysiaGazette