benjamin netanyahu
Benjamin Netanyahu (kanan) dalam pertemuan dengan Anthony Blinken di Israel, awal November 2023. - Gambar: Facebook Perdana Menteri Israel

BAITULMAQDIS – Benjamin Netanyahu dikatakan telah memberitahu Setiausaha Negara AS Antony Blinken bahawa Israel akan mewujudkan zon penampan di dalam Gaza.

Penyiar awam Israel, KAN, memetik seorang pegawai Israel tanpa mendedahkan identiti sumber melaporkan, Netanyahu memberitahu Blinken bahawa tentera Israel akan mengekalkan kawalan keselamatan ke atas Gaza dalam tempoh selepas perang, dan isu itu mendapat konsensus dalam kalangan anggota Kabinet Perang Israel.

Penyiar itu bagaimanapun berkata, AS dan negara Arab menolak sebarang rancangan Israel untuk mengurangkan ruang wilayah Palestin di Gaza.

Awal Jumaat, Israel dan Hamas saling menyalahkan antara satu sama lain kerana melanggar syarat waktu rehat kemanusiaan tujuh hari yang bermula 24 November lalu.

Tentera Israel meneruskan serangan di seluruh Semenanjung Gaza pada awal Jumaat selepas mengisytiharkan berakhirnya waktu rehat tersebut, mengakibatkan ratusan orang Palestin terkorban.

Sekurang-kurangnya 178 rakyat Palestin terbunuh dan 589 lagi cedera sejak Israel meneruskan pengeboman di Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Waktu rehat kemanusiaan bermula sebagai sebahagian daripada perjanjian antara Israel dan kumpulan Palestin, Hamas, untuk menghentikan sementara pertempuran bagi membolehkan pertukaran tebusan, serta penghantaran bantuan.

Lebih 15,000 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, telah terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Oktober lalu. – MalaysiaGazette