Tangkap layar kejadian lelaki terjatuh jejantas di Jalan Tanah Putih, Kuantan tengah hari tadi. Sumber : Media Sosial

KUANTAN – Seorang lelaki warga Myanmar nyaris maut selepas terjatuh dari sebuah jejantas dalam keadaan lalu lintas sesak, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku di Jalan Tanah Putih, Kuantan berhampiran bangunan LHDN, di sini pada pukul 12.10 tengah hari.

“Anggota polis yang tiba di lokasi maklumkan bahawa mangsa yang merupakan warga asing mengalami kecederaan di bahagian jari kaki kerana tindakannya itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk semakan status kesihatan serta rawatan lanjut.

Wan Mohd Zahari menasihati masyarakat agar tidak menularkan video kejadian terbabit bagi mengelakkan sebarang spekulasi.

Terdahulu, tular klip video rakaman papan pemuka (dashcam) di laman media sosial memaparkan seorang lelaki tidak berbaju dipercayai terjatuh daripada jejantas sewaktu keadaan lalu lintas sesak. – MalaysiaGazette