Kukaneswari (dua dari kanan) berswafoto bersama Fadhlina selepas menerima kedatangan Menteri Pendidikan itu dalam Ziarah Deepavali di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

KUALA LUMPUR – Bagai mimpi dan sukar dipercayai!

Itu reaksi seorang guru wanita sebuah sekolah Tamil yang berkongsi kenangan manis selepas menerima kunjungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang datang menjamu selera juadah Deepavali di rumahnya di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

Kukaneswari Anthony, 51, berkata, sepanjang berkhidmat sebagai guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kerian, ini kali pertama seorang menteri datang sebagai tetamu ke rumahnya.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Kukaneswari yang merupakan Penolong Kanan Kokurikulum berkata, pada mulanya beliau telah menerima panggilan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan dan memaklumkan bahawa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal akan berkunjung ke rumahnya untuk minum teh.

Guru mengajar Sains dan Tamil itu pada mulanya tidak percaya dengan berita itu sebelum dimaklumkan pegawai berkenaan yang Fadhlina pernah berkunjung ke rumah guru terpilih bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan mahu melakukan ziarah sempena Deepavali kali ini.

“Saya seolah tidak dapat percaya akan berita itu namun saya meminta izin pegawai akan memaklumkannya selepas berbincang dengan suami dan ahli keluarga.

“Ternyata suami dan ahli keluarga saya terkejut selepas saya menyampaikan berita Menteri Pendidikan mahu berkunjung ke rumah sebelum mereka pun tanya berulang kali mengenai kesahihannya sebelum bersetuju.

“Sambil membuat persiapan menjelang kunjungan Ahli Parlimen Nibong Tebal itu, seribu satu soalan terlintas dalam fikiran apakah benar Menteri Pendidikan mahu datang ke rumah untuk minum teh.

“Ini kerana bukan senang untuk seorang menteri yang padat dengan jadual di seluruh negara dan juga di kawasan Parlimen mempunyai masa berkunjung dan menjamu selera di rumah guru sekolah namun di sebalik semua persoalan itu, naluri saya optimis menteri akan datang.

“Hari yang dinanti-nantikan pun tiba dan saya melihat beberapa minit sebelum itu beberapa pegawai kepada menteri datang ke rumah dan memeriksa persiapan di ruang tamu dan sebagainya.

“Saya juga menjemput beberapa jiran aku yang juga merupakan guru sekolah yang pada mulanya menganggap saya bergurau (kunjungan menteri) dan tidak percaya.

Kukaneswari berswafoto dengan Fahdlina di rumahnya semasa kunjungan mengejut ziarah Deepavali Ahli Parlimen Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

“Sekitar jam lebih kurang 3.15 petang hari ini, kenderaan rasmi berwarna hitam berhenti di depan rumah saya sebelum Fadhlina berbaju kurung biru turun dari kereta dan terus datang menuju ke arah saya yang berdiri di depan untuk menyambutnya dan saya sempat mencubit tangan aku sendiri untuk memastikan apa yang saya lihat itu bukan mimpi.

“Seluruh keluarga saya teruja melihat kehadiran Fadhlina dan terus menyambut beliau ke dalam rumah dan beliau telah meluangkan masa lebih 20 minit berbual dengan saya, suami dan anak-anak.

“Pada mulanya, saya agak gementar dan takut bagaimana untuk memulakan perbualan dengan menteri tetapi beliau sangat rendah diri tanpa mencerminkan dirinya sebagai seorang menteri sebaliknya berbual rakan kenalan lama dan penuh akrab.

“Sepanjang perbualan itu, beliau sempat menyarankan saya agar tidak mengambil persaraan awal sebagai guru dan meminta meneruskan kariernya di sekolah dengan nasihatĀ  untuk mendekati pelajar zaman sekarang memerlukan guru yang sangat berpengalaman seperti kami,” katanya.

Menurutnya, Fadhlina turut menikmati teh pandan yang menjadi kegemarannya selain juadah tradisional India iaitu muruku dan manisan kesari selain sempat berswafoto dengan keluarganya.

“Selalunya kita hanya akan melihat pemimpin seperti Menteri Pendidikan dalam kaca televisyen sahaja dan bukan senang untuk bersemuka.

Kukaneswari bersama Fadhlina selepas menerima kehadiran mengejut Ziarah Deepavali Menteri Pendidikan ke rumahnya di Nibong Tebal, Pulau Pinang petang tadi.

“Bagi saya sebagai guru sekolah, ini peluang sekali dalam hidup dan satu kenangan terindah bagi kami sekeluarga serta bangga kerana menerima menteri sebagai tetamu istimewa serta sudah pasti akan simpan foto bersama beliau di ruang tamu untuk kenangan,” akuinya.

Fadhlina juga memuatnaik beberapa keping gambar Ziarah Deepavali beliau dalam Facebook rasminya dengan kapsyen berbunyi; “Turun kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang pasti saya tidak melepaskan peluang untuk Ziarah Deepavali bersama warga pendidik iaitu guru-guru berbangsa India yang menabur bakti di sini.

“Inilah keunikan penduduk-penduduk Nibong Tebal yang sentiasa meraikan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum dan sentiasa menghormati antara satu sama lain” tulisnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast