pinjaman MARA MRSM berbayar
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pelajar yang diterima untuk menyambung pengajian di semua institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dinasihatkan agar tidak menolak tawaran yang diberikan hanya disebabkan masalah kewangan.

Itu nasihat Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan penubuhan mana-mana institusi pendidikan termasuk Institut Kemahiran MARA (IKM) adalah untuk memberi keutamaan dan membantu pelajar miskin daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Saya tegaskan jangan sesekali tangguh atau tolak tawaran tersebut.

“Yang penting ambil peluang masuk dalam program-program TVET atau kemahiran yang MARA sediakan kerana ia mampu merubah nasib diri dan keluarga dengan tawaran kerja yang tersedia beserta potensi gaji yang lumayan dan bermaruah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf berkata demikian sebagai respon kepada mesej  diterimanya menerusi Facebook berhubung aduan ibu bapa daripada keluarga miskin yang memaklumkan tidak mampu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM350 untuk kemasukan anaknya ke IKM Besut, Terengganu.

Menerusi mesej sama, ibu bapa berkenaan turut meminta pandangan Pengerusi MARA itu sama ada mereka wajar untuk menangguhkan pengajian anak mereka atau menolak tawaran berkenaan.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi sudah mengarahkan semua institusi pendidikan MARA menerima kemasukan semua pelajar yang berdepan masalah kewangan.

“Saya sudah pun minta semua institusi pendidikan MARA, jika ada kes-kes pelajar yang tidak mampu bayar yuran atau kos-kos awalan lain, terima dahulu mereka masuk.

“Pelajar-pelajar boleh bayar secara ansuran atau banyak kaedah lain untuk membantu.

“Yang penting ambil peluang masuk dalam program-program TVET atau kemahiran yang MARA sediakan kerana ia mampu merubah nasib diri dan keluarga dengan tawaran kerja yang tersedia beserta potensi gaji yang lumayan dan bermaruah,” ujarnya. – MalaysiaGazette