KUALA LUMPUR – Kemenangan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, yang merupakan kubu mereka sendiri bukan sesuatu yang luar biasa, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Justeru, beliau turut menolak kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan kononnya kemenangan Ahmad Samsuri semalam, membuktikan referendum rakyat berpihak kepada kepimpinannya dan gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Menang di kubu sendiri bukanlah sesuatu yang luar biasa. (DUN) Pelangai kelmarin tak dikira referendum pula. Lain la kalau menang di (Parlimen) Subang,” katanya menerusi laman X beliau, malam ini.
Semalam, PAS mengekalkan status quo di Kemaman selepas calonnya Ahmad Samsuri memenangi PRK Parlimen itu dengan majoriti 37,220, setelah memperoleh 64,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi. – BERNAMA