Kredit: Emirates News Agency (WAM)

ABU DHABI – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengunjungi ibu pejabat General Women’s Union (GWU) di Abu Dhabi pada Sabtu, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Ketibaan Tunku Azizah disambut oleh Setiausaha Agung GWU Al Reem Abdullah Al Falasi.

Baginda turut diraikan dalam satu majlis sempena sambutan Hari Kesatuan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kali ke-52 anjuran GWU.

Sempen kunjungan itu Tunku Azizah turut berkenan meluangkan masa bertemu dengan ahli Majlis Penasihat Kanak-Kanak dan Pejabat Ketua Setiausaha Majlis Tertinggi Ibu dan Kanak-Kanak, serta beberapa duta belia UNICEF yang menghadiri Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) .

Tunku Azizah turut berkenan meluangkan masa melawat bangunan kesatuan dan taman asuhan selain turut menyertai upacara menanam pokok sempena dengan kunjungan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah berada di Abu Dhabi untuk lawatan khas hingga 4 Dis.

Lawatan khas itu bersempena dengan COP28 yang berlangsung dari 30 Nov hingga 12 Dis.- BERNAMA-WAM

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast