Solidariti kepada Palestin dizahirkan dan viking clap sebelum sepak mula dilaungkan bersama-sama. Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Seramai 20,864 hadir menyaksikan perlawanan Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Selangor FC yang merupakan aksi terakhir musim ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah semalam.

Penutup yang manis dengan sorakan padu penyokong Hijau Kuning namun anak buah Nafuzi Zain tidak dapat menghadiahkan tiga mata penting bagi membuka peluang ke kejohanan Asia.

“Apa pun, satu mutu persembahan yang harus dipuji dari pasukan dengan banyak peluang dicipta tetapi penyudah yang kurang tajam menjadi halangan.

“Solidariti kepada Palestin dizahirkan, viking clap sebelum sepakmula dilaungkan bersama-sama, teruskan angka ini bagi setiap aksi di Stadium Darul Aman yang seterusnya salah satu sumber menjana pendapatan kelab sepanjang musim.

“Terima kasih, terima kasih, terima kasih. Sehingga kita bertemu lagi di musim hadapan!” tulis Facebook KDA FC.

Pada perlawanan itu, Selangor menewaskan Kedah 1-0 sekali gus muncul sebagai naib juara Liga Super dan menempah tiket ke saingan Liga AFC musim depan.

Foto Facebook KDA FC.

Sementara itu, sebelum ini, aksi penyokong Terengganu FC (TFC) ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 menentang KL City di Stadium Sultan Mizan bulan lalu mendapat perhatian media antarabangsa.

Ini kerana lebih 25,000 penyokong yang telah hadir bersatu hati mengangkat  bendera Palestin serta kain rentang sebagai tanda solidariti terhadap usaha pembebasan negara itu daripada Israel sebelum perlawanan bermula.

Lagu Demimu Palestin turut dinyanyikan penyokong di dalam stadium selain melaungkan slogan bagi menunjukkan sokongan padu terhadap negara berkenaan.

Rakaman video aksi penyokong TFC itu tular di media sosial sehingga menarik perhatian agensi media Palestin, Qud News Network sekaligus mendapat pujian daripada warga maya dari seluruh dunia.

Ketika ini, rakyat Palestin berdepan krisis ‘pembunuhan beramai-ramai’ selepas serangan berterusan tentera rejim zionis Israel. – MalaysiaGazette