Pegawai Maqis menunjukkan serangga perosak yang ditemui di dagangan kayu yang dibawa masuk dari Papua New Guinea menerusi NBCT Butterworth, Pulau Pinang semalam.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang telah merampas 33.9 tan metrik dagangan kayu jenis Pencil Cedar Baulks (palaquium warburgianum pencil) di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), di sini, semalam.

Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, rampasan itu dibuat susulan dagangan kayu tersebut mengandungi serangga perosak yang berisiko kepada komoditi pertanian negara.

“Kayu-kayan jenis ‘Pencil Cedar Baulks’ dari Papua New Guinea yang bernilai RM186,000 itu dirampas bagi pemeriksaan lanjut selepas menemui serangga perosak.

“Prosedur pintasan dan persampelan telah dijalankan terhadap konsainan itu dan sampel telah dihantar ke Makmal Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian.

Kumbang tanduk panjang (Chloridolum dorycum) ditemui pada dagangan kayu tersebut.

“Keputusan analisa penyaringan perosak mendapati, spesis yang ditemui adalah jenis kumbang tanduk panjang (Chloridolum dorycum) yang merupakan spesis serangga perosak yang berisiko tinggi terhadap komoditi pertanian negara,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah suatu kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Perkhidmatan Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Justeru, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi menyekat kehadiran perosak yang boleh merebak dan menyebabkan penularan yang berbahaya terhadap industri pertanian negara,” katanya. – MalaysiaGazette