KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Hans Isaac meminta penyokong Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) menggunakan transit aliran ringan (LRT) menjelang aksi final Piala Malaysia 2023 pada Jumaat ini.
Nasihat itu dibuat bagi mengelak kesesakan yang dijangka berlaku pada hari tersebut.
Ini kerana pada hari sama perlawanan final berlangsung, skuad hoki remaja negara bakal turun menentang Australia pada pukul 2 petang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Perlawanan tersebut merupakan aksi terakhir Kumpulan A Piala Dunia Remaja 2023 di mana ini boleh saja menentukan sama ada skuad negara layak ke pusingan seterusnya atau tidak.
Justeru, Hans berharap penyokong dapat memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam termasuk LRT bagi menyenangkan perjalanan mereka ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Tolong gunakan transit aliran ringan (LRT) untuk ke Bukit Jalil minggu ini,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram Story.
Suasana di SNBJ dijangka meriah dengan kehadiran lebih 70,000 penyokong kedua-dua pasukan.
Begitu pun, ramai penyokong masih menunggu maklum balas terkini Hans tentang keadaan padang SNBJ yang dilihat belum bersedia untuk aksi final Piala Malaysia. – MalaysiaGazette